|

DR. RAIS Yatim (kanan) menyampaikan sijil penghargaan Program Galakan Membaca kepada Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor pada majlis pelancaran Mari Membaca 1 Malaysia di PNM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
WALAUPUN kadar literasi rakyat Malaysia tinggi iaitu 92 peratus tetapi secara purata rakyat negara ini hanya membaca dua buah buku setahun.
Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005 ini hanya melibatkan responden yang membaca untuk hobi dan rekreasi sahaja. Tidak termasuk responden yang membaca buku teks dan bahan rujukan untuk peperiksaan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata, olahan semula terhadap kajian tersebut mendapati rakyat Malaysia yang berumur 10 tahun ke atas membaca antara lapan hingga 12 buah buku setahun.
Bagaimanapun, katanya, amalan ini perlu terus dibudayakan supaya terus sebati dan berakar umbi dalam diri setiap individu.
"Proses ini memakan masa dan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk syarikat-syarikat korporat yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen Mari Membaca 1Malaysia anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Rais berkata, sumbangan syarikat korporat tersebut amat penting demi menjana ekonomi negara yang berasaskan pengetahuan yang berpaksikan kepada penghasilan produk dan perkhidmatan yang inovatif.
"Melalui sumbangan sektor swasta, bilangan perpustakaan desa juga boleh ditambah," jelasnya.
Ketika ini jumlah perpustakaan desa adalah 1,089 buah di seluruh negara.
Kerajaan, tambah Rais, turut memberi pelepasan cukai pendapatan atas pembelian bahan bacaan.
"Insentif ini bagi menggalakkan lebih ramai orang untuk membaca dan membeli buku, seterusnya membantu mengembangkan industri penerbitan," katanya.
|